Showing posts with label Tips Diet. Show all posts
Showing posts with label Tips Diet. Show all posts

31 December 2015

Kurus dengan Kos Murah

Assalamualaikum, 

Untuk kurus tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Anda juga tidak perlu membayar mahal untuk ke kelas senaman atau membeli peralatan senaman yang mahal serta canggih. Dengan kos yang murah anda juga mampu menurunkan berat badan.

Kurus dengan Kos Murah
Kurus dengan Kos Murah - Sumber gambar aibaba.com
Sebelum ini dikongsikan mengenai kuruskan badan tanpa ubat di dalam entri yang lalu. Beberapa tips untuk kurus dengan kos yang murah adalah seperti berikut:

1. Kurus dengan senaman di rumah

Anda tidak perlu ke gymnasium berbayar untuk kurus. Lakukan sendiri senaman seperti aerobik atau tarian di rumah dengan kos murah. Dapatkan rakaman dari sumber seperti youtube. Jika anda suka melakukan kerja rumah, ini juga peluang baik untuk kurus. Jadikan kerja rumah seperti menyapu sampah, mengelap dan membasuh sebagai senaman yang menyihatkan. 


2. Kurus dengan kemudahan sedia ada

Tidak perlu membeli alat senaman yang mahal. Sebaliknya gunakan kemudahan sedia ada di sekeliling rumah anda untuk kurus. Jika rumah anda ada tangga, gunakan ia untuk senaman naik turun tangga. Bagi anda yang memiliki basikal, rajinkan diri untuk mengayuh basikal bagi membakar kalori. 


3. Kurus dengan makanan kesihatan semulajadi

Makanan kesihatan yang siap diproses selalunya mahal. Apa kata anda memilih makanan kesihatan semulajadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih murah dan mudah didapati. Buah dan sayur juga kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral. Makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa berasa ragu kerana kandungan kalorinya juga rendah. 


4. Kurus dengan amalkan petua tradisional

Tanyakan kepada orang tua yang anda kenal mengenai petua tradisional yang mereka amalkan untuk menguruskan badan atau mengekalkan bentuk badan. Selain daripada menggunakan bahan semulajadi yang mudah didapati, petua tradisional juga tidak menggunakan bahan kimia berbahaya dan tidak memerlukan kos yang tinggi. 


Oleh itu, banyak cara untuk kurus tanpa menggunakan kos yang mahal dan ada di antaranya telah pun anda amalkan dalam kehidupan seharian. Paling penting adalah keazaman dan usaha yang berterusan tanpa jemu untuk kurus. 

^_^

01 November 2015

Jom Langsing dengan Buah

Assalamualaikum, 

Buah-buahan kaya dengan vitamin dan serat yang baik untuk kesihatan. Amalan makan buah-buahan mampu untuk mendapatkan tubuh yang langsing. Sebelum ini saya pernah kongsikan mengenai turunkan berat badan dengan serat di dalam entri lalu. 

 Langsing dengan Buah

Buah-buahan ini boleh dimakan terus selepas dipotong atau dikisar menjadi jus. Beberapa jenis buah yang sesuai untuk melangsingkan badan adalah seperti berikut:

Langsing dengan buah pisang

Pisang adalah mengenyangkan dan mudah dicerna. Makan pisang sebelum makan makanan lain mampu membuatkan perut berasa kenyang dengan cepat. 


Langsing dengan buah nanas

Nanas kaya dengan vitamin C dan beberapa enzim yang baik untuk pencernaan. Selain dimakan mentah, nanas juga boleh dibuat jus dengan cara mengisar isi nanas dengan sedikit air dan madu. 


Langsing dengan buah betik

Betik mengandungi vitamin dan enzim yang baik untuk sistem pencernaan. Kandungan kalori yang rendah dalam buah betik pasti tidak akan mengganggu diet anda. 


Langsing dengan buah epal hijau

Epal hijau baik untuk anda yang ingin kekal langsing. Ianya juga bermanfaat untuk melancarkan penghadaman. Minum epal hijau yang dikisar bersama saleri bagi membuang toksin. 


Langsing dengan buah avokado

Avokado mengandungi lemak tidak tepu yang berupaya mengurangkan rasa lapar. Perut anda pasti akan berasa kenyang dalam jangka masa lama setelah makan avokado.  


Selain dari buah-buahan di atas, anda boleh makan buah-buahan lain seperti anggur, limau, strawberi dan tembikai. Kandungan kalori di dalam buah-buahan adalah rendah dan amat sesuai dimakan oleh anda yang sedang berdiet dan ingin kekal langsing

p.s: Saya kembali bekerja setelah hampir seminggu bekursus. InsyaAllah saya akan mula membalas kunjungan anda. 

^_^

15 October 2015

Turunkan Berat Badan dengan Serat

Assalamualaikum,

Serat adalah nutrien yang murah dan mudah didapati dari sumber buah-buahan, sayur-sayuran dan beberapa jenis bijirin. Tahukah anda, serat dapat membantu melawaskan proses pencernaan dan mengelakkan sembelit?


Kepada anda yang ingin menurunkan berat badan juga boleh mengambil makanan berserat kerana ia memberi rasa kenyang yang lebih lama dan sekaligus mengurangkan keinginan anda untuk makan dengan lebih banyak.

Beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat adalah seperti limau, epal, pisang, pear, lobak merah, brokoli, prun dan kekacang. Serat juga boleh didapati dalam bijirin seperti oat, gandum, jagung dan roti.

Oleh itu, amalkan pengambilan serat yang mencukupi bagi melancarkan sistem pencernaan. Jadikan amalan makan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai rutin anda. Apabila sistem penghadaman baik, pasti tubuh menjadi sihat dan sekaligus langsing.

^_^

26 September 2015

Tips Berdiet Tanpa Berlapar

Assalamualaikum,

Ramai orang menganggap untuk berdiet perlu berlapar dan mengelak makan makanan tertentu. Sebenarnya badan kita memerlukan nutrien penting seperti karbohidrat, protein, lemak dan pelbagai vitamin dan mineral untuk mengekalkan kesihatan yang baik.

Tips Berdiet Tanpa Berlapar
Tips Berdiet Tanpa Berlapar
Jika terlalu menahan rasa lapar, pasti akan menyebabkan seseorang berasa tertekan yang seterusnya membuatkannya makan dengan lebih banyak. Beberapa tips berdiet tanpa berlapar yang boleh dilakukan seperti berikut:

Pilihan alternatif untuk diet tanpa berlapar

Pilih makanan alternatif yang mempunyai rasa hampir sama dengan makanan yang digemari. Misalnya jika teringin minum susu, pilihlah susu rendah lemak berbanding susu penuh krim.  


Pilih rendah lemak untuk diet tanpa berlapar

Banyakkan makan buah-buahan sebagai snek berbanding makan pizza atau kek. Buah-buahan rendah lemak dan kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan.


Jangan tinggalkan karbohidrat untuk diet tanpa berlapar

Terdapat individu mengelak pengambilan karbohidrat terutamanya nasi ketika berdiet. Karbohidrat penting untuk memberikan tenaga. Jika ingin makan nasi, ambil separuh saiz penumbuk tangan anda. 


Kurangkan kuantiti makanan untuk diet tanpa berlapar

Kurangkan kuantiti makanan dengan mengisi makanan dalam pinggan bersaiz kecil. Kunyahlah makanan perlahan-lahan sehingga hancur sebelum menelannya (kunyah 40 kali bagi setiap suapan). 


Minum air putih untuk diet tanpa berlapar

Minum air putih sekurang-kurangnya 3 liter pada setiap hari. Air bukan sahaja dapat mengurangkan rasa lapar, tetapi ia juga bermanfaat untuk kesihatan kulit dan melancarkan penghadaman. 


Seimbangkan dengan senaman untuk diet tanpa berlapar

Pemakanan seimbang perlu seiring dengan senaman. Pilih senaman mengikut kemampuan fizikal dan masa. Contoh senaman yang boleh dilakukan seperti berlari, menari, berjalan pantas atau mengayuh basikal. 


Oleh itu, buatlah pilihan bijak dengan memilih makanan sihat. Setkan dalam minda bahawa anda ingin sihat dengan memakan semua jenis makanan sihat. Ambil pemakanan secara seimbang dan jangan berlapar semata-mata untuk berdiet. 

08 April 2014

Makanan Kekalkan Perut Kempis

Assalamualaikum,

Selain daripada melakukan olahraga secara teratur, pengambilan makanan yang bersesuaian merupakan salah satu faktor untuk mengekalkan perut yang kempis. Sebelum ini telah dibincangkan mengenai cara kawal makan untuk kurus

Makanan Kekalkan Perut Kempis
Makanan Kekalkan Perut Kempis (Gambar hiasan) - yourwellness.com
Beberapa makanan yang boleh diamalkan bagi mengekalkan perut kempis adalah seperti berikut: 

1. Brokoli untuk perut kempis
Brokoli adalah sayur yang enak dimasak dengan pelbagai cara. Pengambilan brokoli secara rutin dapat melancarkan sistem pencernaan di samping meningkatkan metabolisme badan kita.

2. Jus buah-buahan untuk perut kempis
Jus buah-buahan sesuai diminum untuk mengekalkan perut kempis adalah seperti epal, lobak merah, buah-buahan beri, oren, tomato, anggur dan betik. Perut kita akan berasa kenyang lebih lama. 

3. Yogurt untuk perut kempis
Perut akan kembung apabila terdapat banyak asid di dalamnya. Kandungan probiotik yang terdapat dalam yogurt boleh membunuh bakteria jahat di dalam usus dan melancarkan sistem pencernaan anda. 

4. Teh untuk perut kempis
Minum teh hitam atau teh hijau dua hingga tiga kali seminggu dapat mendinginkan perut dan melancarkan proses pencernaan. Namun teh tidak boleh diminum setiap hari kerana mungkin akan menyebabkan sembelit. 

5. Agar-agar untuk perut kempis
Agar-agar diperbuat daripada rumpai laut dan memberikan rasa dingin pada perut. Pengambilannya dapat melancarkan pencernaan serta memenuhi keperluan serat di dalam badan. 

Oleh itu, bolehlah mencuba mengambil makanan di atas bagi mengekalkan perut yang kempis. Selain daripada faktor pemakanan, elakkan minum ais dan makan berselang dengan minum air bagi mengelakkan perut buncit.

Diolah dari sumber: Majalah Mingguan Wanita

^_^

02 April 2014

Kawal Makan untuk Kurus

Assalamualaikum,

Tidak dinafikan, pemakanan seimbang dan senaman yang teratur adalah faktor penting untuk mendapatkan tubuh yang kekal langsing dan sihat. Kawal makan adalah sesuatu yang sukar dilakukan pada peringkat awal berdiet. 

Kawal Makan untuk Kurus
Kawal Makan untuk Kurus (Gambar hiasan) - nydailynews.com
Sebelum ini telah dibincangkan mengenai makan malam untuk diet. Jika tidak kawal makan, segala usaha untuk menurunkan berat badan hanyalah sia-sia. Bebarapa cara yang boleh dilkukan bagi mengawal makan adalah seperti berikut:

1. Tetapkan sasaran yang jelas 
Sasarkan berapa kilogram (kg) yang perlu dikurangkan dan tetapkan tempoh masa yang sesuai serta realistik untuk mengurangkan berat itu. 

2. Jangan lupa mengambil sarapan
Jika terlewat mengambil sarapan pagi, badan akan kekurangan glukosa yang seterusnya menyebabkan kita berasa cepat lapar. 

3. Makan kerap 
Makanlah secara kerap iaitu 6-8 kali sehari. Namun hadkan kepada saiz hidangan yang kecil dengan menggunakan pinggan yang kecil. 

4. Ambil snek buah-buahan
Ada masanya perut kita akan berasa lapar secara tiba-tiba. Usah risau, nikmatilah snek buah-buahan seperti betik, tembikai dan epal yang tentu mengenyangkan perut. 

5. Nikmati makanan
Makan perlahan-lahan dengan cara mengunyah makanan sehingga hancur. Perut akan mengambil masa 10-20 minit untuk member isyarat kepada otak bahawa anda telah kenyang.

6. Banyakkan minum air putih
Minum segelas air putih sebelum makan. Tentu perut akan berasa kenyang kerana diisi oleh air. Namun jangan selang-selikan makan dan minum. 

7. Lakukan aktiviti 
Sibukkan diri dengan aktiviti atau tugasan seharian bagi mengelakkan otak kita terlalu berfikir mengenai makanan sahaja. 

Oleh itu, hanya kita yang mampu mengubah diri kita menjadi lebih langsing dan sihat. Apa yang penting, kawal makan dan bersenamlah secara teratur. Anda boleh juga membaca mengenai makanan pengganti nasi

^_^

24 March 2014

Makanan Pengganti Nasi

Assalamualaikum, 

Badan kita memerlukan nutrien yang mencukupi untuk mengekalkan kesihatan dan memberikan tenaga yang berkekalan. Ada individu yang berdiet dengan tidak mengambil nasi dengan alasan ianya mengandungi karbohidrat yang tinggi. 

Makanan Pengganti Nasi
Makanan Pengganti Nasi (Gambar hiasan) - diaitologia.gr
Sebelum ini telah dibincangkan mengenai tenaga segera ketika lapar. Beberapa jenis makanan yang boleh diambil sebagai pengganti nasi adalah seperti berikut: 

1. Oat sebagai pengganti nasi
Oat dapat mengurangkan kadar kolesterol dalam badan kita. Oat boleh dimasak sebagai bubur atau dibancuh dengan minuman seperti susu. Ia juga boleh dicampur dalam biskut dan kek. 

2. Jagung sebagai pengganti nasi
Jagung mengandungi serat yang mengenyangkan. Anda boleh menikmati jagung yang direbus atau dibakar. Jagung muda juga boleh dimasak sebagai sayur. 

3. Pasta sebagai pengganti nasi
Pelbagai jenis pasta yang boleh didapati seperti makaroni dan spageti. Anda boleh memasak pasta dengan cara merebusnya. Boleh tambahkan sedikit minyak zaitun, daging rendah lemak dan sayur-sayuran. 

Harus diingat bahawa badan kita tetap memerlukan karbohidrat untuk memberi tenaga. Makanan pengganti nasi di atas boleh diambil bersama buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain daripada menjaga pemakanan, perlu diseimbangkan juga dengan aktiviti fizikal. 

 ^_^

06 March 2014

Tenaga Segera Ketika Lapar

Assalamualaikum,

Kesibukan bekerja membuatkan kita tiada masa untuk makan tepat pada waktunya. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan badan menjadi lesu dan kurang bermaya. Tentunya badan kita memerlukan tenaga segera untuk kekal cergas dan aktif. 

Di saat ini tentu badan kita memerlukan tenaga segera yang terdiri daripada makanan ringkas tetapi berkhasiat seperti berikut: 

1. Tenaga segera buah-buahan 
Tenaga Segera Ketika Lapar
Gambar hiasan - fruittiyogurt.com
Buah-buahan kaya dengan pelbagai vitamin serta serat yang baik untuk sistem penghadaman. Anda boleh mengambil buah kering dan buah segar seperti kurma atau pisang. 

2. Tenaga segera susu
Tenaga Segera Ketika Lapar
Gambar hiasan - thecurvynerd.com
Susu membekalkan protein sihat dalam tubuh. Ianya juga mengenyangkan perut buat seketika sementara menunggu makanan berat. 

3. Tenaga segera  yogurt
Tenaga Segera Ketika Lapar
Gambar hiasan - recipes.howstuffworks.com
Yogurt membekalkan protein yang sihat kepada tubuh di samping rasa manisnya membekalkan tenaga sementara. 

4. Tenaga segera coklat
Tenaga Segera Ketika Lapar
Gambar hiasan - en.wikipedia.org
Coklat membekalkan karbohidrat walaupun agak lambat berbanding susu. Rasa manisnya pasti mengenyangkan. 

Oleh itu, walau sesibuk mana pun kita pemakanan perlu dijaga. Pilihlah makanan yang berkhasiat untuk memberi tenaga kepada badan di samping mengekalkan kesihatan yang baik. Elakkan pengambilan makanan segera seperti mee segera. 

Maklumat diolah dari sumber: Majalah Remaja

^_^

17 December 2013

Makan Malam untuk Diet

Assalamualaikum,

Kebiasaannya individu yang sedang berdiet pasti akan mengelak untuk makan malam. Sebenarnya anda masih boleh makan, namun perlu memilih jenis makanan yang akan dimakan. Sebelum ini dibincangkan mengenai jom berdiet tanpa tekanan

Makan Malam untuk Diet
Makan Malam untuk Diet (Gambar hiasan) - casperfry. com
Beberapa jenis makanan berikut boleh diambil oleh anda yang sedang berdiet tetapi ingin makan malam:

1. Buah-buahan 
Makan sebiji epal mampu untuk menghilangkan rasa lapar. Atau boleh juga makan buah-buahan lain seperti oren atau pisang.

2. Sup
Masak semangkuk sup ayam yang ditambah dengan udang dan sedikit sayur tanpa tambahan minyak. 

3. Roti 
Sapukan nipis mentega atau jem di atas dua keping roti. Bolehlah dimakan bersama secawan susu suam atau air coklat panas. 

Oleh itu anda tidak perlu menyeksa badan untuk berlapar pada waktu malam semata-mata kerana berdiet. Namun perlu pastikan makan malam sebelum jam 7 malam (atau 2 jam sebelum tidur) dan banyakkan minum air kosong. 

^_^

30 October 2013

Cepat Rasa Lapar

Assalamualaikum, 

Pernahkah anda masih berasa lapar walaupun selepas makan makanan berat? Cepat rasa lapar bukanlah sesuatu yang menggembirakan bagi individu yang sedang menurunkan berat badan. Tentu perkara ini amat mengganggu emosi. 

Cepat Rasa Lapar
Cepat Rasa Lapar (Gambar hiasan) - Google
Sebelum ini telah dibincangkan mengenai tenaga segera ketika lapar. Beberapa faktor menyebabkan cepat rasa lapar adalah seperti berikut:

1. Kerap makan makanan segera 
Kandungan Monosodium Glutamate (MSG) di dalam makanan segera tentunya mampu membuatkannya berasa sedap. Sehingga satu tahap anda akan berasa ketagih dengan makanan itu dan akan makan dalam kuantiti yang banyak bagi mengatasi ketagihan.

2. Elak mengambil sarapan pagi
Ada orang yang menyangka jika tidak mengambil sarapan pagi mampu untuk mengurangkan kalori seharian. Seeloknya ambil sarapan pagi secukupnya untuk mengalas perut anda agar tidak mudah berasa lapar sebelum waktu makan tengahari. 

3. Tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran
Kandungan serat dan pelbagai vitamin semulajadi di dalam buah serta sayur mampu untuk membuatkan kita berasa kenyang dalam tempoh masa yang lama. 

4. Kurang minum air kosong
Badan kita memerlukan air yang mencukupi untuk melancarkan proses pencernaan serta sistem badan yang lain. Pastikan minum 8 gelas air atau lebih pada setiap hari kerana jika badan kekurangan air pasti kita akan berasa cepat lapar. 

5. Tekanan perasaan
Tekanan perasaan tentunya dapat meningkatkan penggunaan tenaga kimia oleh otak anda. Situasi ini akan menyebabkan perut cepat berasa lapar. Cubalah kawal perasaan anda agar ianya sentiasa positif dan gembira selalu. 

6. Berasa bosan
Bosan kerana tiada kerja untuk dilakukan boleh membuatkan berasa cepat lapar. Apa kata sibukkan diri anda dengan hobi yang disukai seperti membaca novel atau keluar berjalan kaki menghirup udara segar di luar rumah (jika hobi memasak, masaklah makanan yang menyihatkan). 

7. Cuaca sejuk
Selalunya jika di persekitaran tempat kerja atau rumah terlalu sejuk (pendingin udara), cubalah lakukan pergerakan ringkas untuk memanaskan badan anda. Minum secawan teh suam tanpa gula pasti membuatkan anda berasa tidak lapar. 

Oleh itu, hanya kita yang dapat mengawal diri kita agar tidak cepat berasa lapar. Gembirakan hati dan berfikiran positif selalu. Pastikan badan mendapat nutrien mencukupi berdasarkan piramid makanan. Seeloknya masak sendiri makanan di rumah dengan mengelakkan penggunaan MSG. 

^_^

19 August 2013

Tips Kurangkan Berat Badan Selepas Raya

Assalamualaikum, 

Berat badan bertambah selepas raya? Kunjungan ke rumah terbuka saudara-mara dan rakan-rakan tidak dapat dielakkan. Jom cuba amalkan tips seperti berikut:

1. Nikmatilah pelbagai jenis makanan, tetapi hadkan kuantitinya
(kecilkan saiz hidangan). 

2. Kunyah makanan perlahan-lahan, dengan cara ini pasti kita akan dapat menikmati keenakan makanan dan merasa cepat kenyang.

3. Pastikan pengambilan air yang mencukupi dalam badan. Minum 8 gelas atau lebih air kosong sehari.

4. Minum segelas air limau nipis/ kasturi setiap kali selepas makan.

5. Sekiranya berasa lapar, makan snek yang berkhasiat seperti buah-buahan . Contohnya makan sepotong buah betik, epal atau pisang. 

6. Mulakan bersenam berjalan kaki pantas 15-20 minit setiap hari. Tingkatkan aktiviti fizikal yang lain seperti jogging

7. Untuk kempiskan perut, buat senaman sit up sebanyak 20 kali pada setiap pagi dan petang. 

Ingatlah, hanya kita yang mampu mengawal dan mengubah diri kita. Selamat mencuba.. 

Sumber gambar : Google

^_^

03 June 2013

Cegah Kanser dengan Amalan Diet Ikut Warna

Assalamualaikum,

Menurut penulis buku What Colour is Your diet?, David Heber, MD, diet mengikut warna makanan terutamanya sayur dan buah sangat baik untuk kesihatan terutama dalam mencegah kanser serta menurunkan berat badan.

Merah
Sayur dan buah dari warna ini kaya likopen yang mampu mengurangkan risiko kanser. Contohnya buah tomato. 

Jingga
Makanan jenis ini mengandungi alfa dan beta karotena yang baik untuk mencegah terjadinya kanser. 

Kuning
Makanan yang semulajadi bewarna kuning pula kaya dengan kandungan vitamin C yang baik untuk melindungi sel tubuh. Zat gizi ini boleh didapati di dalam limau, betik dan belimbing. 

Hijau
Sayur bewarna hijau tinggi karotenoid, lutein dan zeaxanthin yang baik untuk kesihatan mata. Contohnya bayam hijau. 

Putih
Makanan ini mengandungi flavanoid yang dapat melindungi membran sel. Sumber ini boleh didapati dari bawang putih. 

Sumber : Najwa Mohd Ghazali (2007), Rapi Diet:Langsing cara sihat, Keluarga Communication Sdn. Bhd.


^_^

27 May 2013

6 Tips Hapuskan Ketagihan Makanan Ringan

Assalamualaikum,

Apakah itu makanan ringan (junkfood)?  Merujuk kepada Merriam Webster's Collegiate Dictionary, makanan ringan adalah makanan tinggi kalori tetapi rendah kandungan khasiatnya. Salah satu daripada punca yang menyumbang kepada obesiti adalah pengambilan makanan ringan secara kerap.

Makanan ringan
Contoh makanan ringan
Sememangnya sukar untuk kita berhenti mengambil makanan ringan. Namun, terdapat beberapa tips yang mungkin boleh kita praktikkan secara istiqamah bagi menghapuskan ketagihan terhadap makanan ringan seperti berikut:

1. Bersukan
Bersukan
Bersukan
Bersukan boleh menyebabkan badan merasa gembira kerana ia akan menghasilkan endorfin iaitu hormon yang menenangkan. 

2. Berusaha Mengurangkan Sedikit Demi Sedikit
Kurangkan pengambilan makanan
Kurangkan pengambilan makanan
Berhenti mengambil makanan secara tiba-tiba sukar dilakukan. Apa kata anda beli sahaja makanan ringan kegemaran anda, namun dalam kuantiti atau saiz yang kecil. Gantikan dengan buah-buahan atau kekacang jika masih merasa lapar. 

3. Sarapan
Sarapan
Sarapan
Sarapan yang baik mestilah mengandungi banyak serat dan kaya protein. Ini membuatkan anda merasa kenyang lebih lama dan mengurangkan keinginan untuk mencari makanan ringan. 

4. Pilih yang Mahal
Pilih yang mahal
Pilih yang mahal
Kalau anda merasa terseksa setiap kali ingin membayar harga makanan ringan ini, besar kemungkinan anda akan berhenti membelinya. 

5. Kawal Gula Darah
Makan kerap tapi sedikit
Makan kerap tapi sedikit
Gula darah yang stabil akan mengurangkan rasa lapar. Makan secara kerap tetapi dalam saiz yang kecil. 

6. Makanan Tambahan (Supplement)
Multivitamin
Multivitamin
Jika tubuh anda kekurangan khasiat, secara automatik tubuh akan mengarahkan otak supaya berbuat sesuatu, contohnya makan. Pengambilan multivitimin merupakan penyelesaian terbaik. 

Selamat mencuba.. 

Sumber : 

  • Najwa Mohd Ghazali (2007), Rapi Diet:Langsing cara sihat, Keluarga Communication Sdn. Bhd.
  • Gambar : Google

^_^

13 May 2013

Tips Untuk Kurangkan Lemak dalam Masakan

Assalamualaikum,

Kandungan lemak yang berlebihan dalam makanan adalah merbahaya kepada kesihatan seseorang. Oleh itu, kaedah penyediaan makanan yang betul adalah perlu bagi mengurangkan kandungan lemak berlebihan dalam makanan.

Kurangkan Lemak dalam Masakan


Beberapa tips untuk mengurangkan lemak dalam makanan yang dimasak seperti berikut: 
  • Buangkan lemak sebelum memasak.
  • Kurangkan minyak dan lemak semasa memasak.
  • Buang lemak beku dari sup/ masakan.
  • Ubahsuai resipi:
    • Kurangkan atau elakkan membubuh santan/ kerisik. 
    • Tambah sayuran/ kekacang.
    • Kurangan daging. 
    • Gunakan herba/ rempah untuk menambah rasa. 
    • Amalkan cara masakan seperti: Rebus, Kukus, Panggang, Tumis, Microwave, Pressure Cooker.
    • Kurangkan mentega, majerin dan mayonis dalam sandwich, digalakan meletak hirisan timun, tomato dan salad.

Anda juga boleh menggantikan makanan kegemaran anda yang berlemak atau mengubah kaedah memasak seperti berikut: 
  • Bertukar kepada susu kurang lemak atau susu krim.
  • Bertukar kepada snek yang lebih berkhasiat seperti buah segar, jagung rebus, roti paun.
  • Bertukar menu daripada daging kepada ikan.
  • Banyakkan makan salad dan ulam-ulaman.
  • Bertukar kepada masakan rebus atau kukus.

Entri berkaitan:

^_^

23 April 2013

Ketahui Rahsia Lemak

Assalamualaikum,

Adakah kita benar-benar faham tentang apa itu lemak? Tahukah kita jenis-jenis lemak? Benarkah lemak itu berbahaya? Mengapa kita perlu mengurangkan memakan makanan yang berlemak?

Rahsia Lemak
Gambar sekadar hiasan - Google
Beberapa perkara asas tentang lemak adalah seperti berikut:
  • Lemak sumber kalori terbanyak.
  • Makanan banyak lemak dan minyak menyebabkan kegemukan.
  • Lemak dikaitkan dengan penyakit jantung koronari, kencing manis dan barah.
  • Hampir kesemua makanan harian kita banyak mengandungi lemak.
  • Makanan yang mengandungi lemak semulajadi adalah seperti: minyak, mentega, marjerin, minyak sapi, santan, krim.
  • Makanan yang mengandungi tambahan lemak/ minyak adalah seperti kuih muih, karipap, roti canai, kek, cucur pisang, bingka, keropok, nasi goreng, nasi lemak, mee goreng, ayam goreng, ikan goreng, mayonis.

Terdapat dua jenis lemak yang asas dalam makanan iaitu :
1) Lemak Tepu
  • Menjadi beku dan keras dalam suhu sejuk (peti sejuk). 
  • Sumber utama hasil haiwan dan sebahagian tumbuhan seperti santan dan minyak kelapa sawit. 
  • Pengambilan yang berlebihan dikaitkan dengan bertambah paras kolestrol dan risiko penyakit jantung koronari.
2) Lemak Tidak Tepu
  • Lembut atau cair walaupun dalam suhu sejuk. 
  • Sumber utama hasil tumbuhan dan terbahagi kepada 2 jenis:
    • Mono tidak tepu : minyak zaitun, canola
    • Poli tidak tepu : minyak jagung, soya, bunga matahari dan majerin lembut
* Bertukarlah kepada lemak jenis tidak tepu di dalam masakan tetapi gunakan secara berpatutan dan jangan berlebihan. 

Sumber : Berita Harian

^_^

03 March 2013

Kuruskan Badan dengan Diet Atkins

Assalamualaikum,

Apakah diet AtkinsDiet Atkins yang telah diperkenalkan oleh Dr. Robert C. Atkins adalah corak pemakanan yang melebihkan protein berbanding karbohidrat. Sebelum ini telah dibincangkan mengenai tips kuruskan badan tanpa ubat.

Diet Atkins
Dengan diet atkins, berat badan seseorang individu akan dapat dikurangkan melalui konsep pembakaran karbohidrat dan lemak4 peringkat utama yang perlu diikuti seperti berikut:
  1. Induction (permulaan dan pengenalan)
  2. Ongoing Weight Loss (penyusutan berat berterusan) 
  3. Pre-maintenance
  4. Lifetime Maintenance
Induction merupakan peringkat terpenting kerana ia adalah asas kepada perubahan corak pemakanan anda. Sebaiknya proses ini dipraktikkan selama 2 minggu atau lebih iaitu mengikut keadaan kesihatan dan berat badan anda.

Peringkat 1 : Induction 
1) Elakkan makan seperti berikut:
  • Nasi, mi, mihun, laksa, laksang, spagetti, fettucini, vermicelli, kuew tiau dan yang sama jenis dengannya.
  • Roti (roti berserat, roti bun, roti canai, roti jala, roti bakar, roti pastri) dan apa saja jenis roti. 
  • Gula (gula pasir, gula melaka, gula merah, madu, gula-gula) dan apa saja makanan bergula tinggi. 
  • Buah-buahan (lepas 2 minggu baru boleh makan). 
  • Minuman bergula, jus buah-buahan, air bergas, minuman isotonik. Kurangkan pengambilan kopi.
  • Snek seperti keropok, biskut manis, popcorn dan jeruk manis.
  • Kacang (lepas 2 minggu baru boleh makan). 
  • Makanan terproses seperti kentang goreng, bebola ikan, sosej.
  • Makanan bertepung seperti kek, biskut, kuih-muih.
  • Produk tenusu seperti susu, yoghurt, dadih (tak kira rendah lemak atau tidak).
2) Boleh makan seperti berikut:
  • Ayam - panggang, steam, bakar, sup, goreng tanpa tepung.
  • Semua jenis ikan - panggang, steam, bakar, sup, goreng tanpa tepung. 
  • Semua jenis daging (halal) - panggang, steam, bakar, sup, goreng tanpa tepung, salai. 
  • Udang - bakar, tomyam, goreng dengan cili boh. Elakkan sotong kerana karbohidrat tinggi.
  • Sayur - terutamanya sayur hijau sawi, bayam, salad, timun). Kurangkan lobak merah, elakkan kentang. Lagi hijau, lagi elok. 
  • Keju jenis cheddar, mozarella, parmesan. Had kepada 2-3 keping sehari.
  • Air kosong, air mineral - minum 8 gelas atau lebih sehari untuk elakkan sembelit.
  • Burger? Buang roti bun atas dan bawah, makan daging burger dengan sayur dan mayonis sahaja. 
  • Pizza? Makan topping sahaja.
  • Makanan tambahan dan vitamin seperti spirullina dan multivitamin untuk menambahkan tenaga dan menguatkan daya ketahanan badan.
Untuk pemakanan seharian, jangan melebihi 20 gram karbohidrat sehari. Perlu makan ikut waktu seperti biasa iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam (sebelum jam 9 malam).


3) Contoh Menu:
i) Sarapan Pagi:
  • Telur rebus - 1 biji  (0.6 gram karbohidrat)
  • Kepingan ayam - 2-3 keping  (0.0 gram karbohidrat)
  • Air suam - 1-2 gelas  (0.0 gram karbohidrat)
  • Keju - 2 keping  (1.0 gram karbohidrat)

ii) Makan Tengahari / Malam:

  • Ikan panggang - 1-2 keping  (0.0 gram karbohidrat)
  • Sup Ayam - 1 mangkuk  (0.5 - 1.0 gram karbohidrat)
  • Ayam goreng - 1-2 ketul  (0.5 - 1.0 gram karbohidrat)
  • Sayur-sayuran hijau - 1 mangkuk  (1.0 - 3.0 gram karbohidrat)
  • Telur goreng - 1-2 biji  (1.0 - 1.5 gram karbohidrat)

Tahukah Anda???

  • Nasi - 1 pinggan penuh = 88 gram karbohidrat
  • Nasi - 1/2 pinggan (nasi separuh) = 44 gram karbohidrat
  • Nasi - 1/4 pinggan = 22 gram karbohidrat
  • Mi, mihun, laksa, laksang, spagetti, fettucini = 10 - 100 gram karbohidrat (mihun paling rendah karbohidrat = lebih kurang 10 gram sepinggan)

Peringkat 2 : Ongoing Weight Loss
1) Makanan berkarbohidrat diperkenalkan secara berperingkat
  • Daripada hanya memakan 20 gram sehari, ditambah 5 gram setiap minggu (kepada 25 gram, 30 gram, 35 gram dan seterusnya) supaya anda tahu had toleransi karbohidrat anda.
  • Had toleransi karbohidrat - jumlah karbohidrat tertinggi sehari dalam gram badan anda boleh proses tanpa menyebabkan penambahan atau kekurangan berat badan (untuk atlet, boleh mencecah tahap 100 gram karbohidrat sehari tapi orang biasa hanya 40-70 gram sehari. Jika metabolisma rendah hanya 24 gram sehari). 
  • Perlu makan ikut waktu seperti biasa iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam (sebelum jam 9 malam).
2) Contoh Menu:

i) Sarapan Pagi: 

  • 1 telur (rebus, goreng, atau scrambled), tambah kicap masin / mayonnaise atau makan begitu sahaja. (0.6-1.0 gram karbohidrat).
  • 2 keping roti Gardenia Breaktru Wholemeal (10.1 gram karbohidrat per 2 keping).
  • Sayur salad dengan serpihan keju mozarella atau olive oil sahaja (0.5 gram karbohidrat).

ii) Makan Tengahari/Malam: 

  • Ikan pari panggang atau apa saja jenis ikan (0.0 gram karbohidrat)
  • ATAU ganti ikan dengan ayam - boleh panggag, sup, tomyam atau goreng, asalkan guna rempah tak berperisa tiruan dan tidak bergula (0.0 gram karbohidrat). 
  • Sayur bayam / sawi - boleh masak biasa asalkan tak bersantan, tak bergula, atau tak bercampur bahan berkarbohidrat (0.2 - 1.0 gram karbohidrat). Elak kentang, kurangkan lobak merah dan lebihkan sayur hijau. 

iii) Snek: 

  • 1 keping keju Cheddar
  • ATAU salad ringan (seperempat / separuh saiz)
  • 2 keping tauhu sumbat (isikan taugeh dan timun sahaja)

iv) Minuman: 

  • Air biasa 
  • Teh hijau / teh herba - tanpa gula
Selamat mencuba program diet Atkins. Ianya fleksibel kerana anda tidak perlu berlapar. Tingkatkan kecergasan badan dengan tambahan aktiviti fizikal seperti bersukan dan bersenam. Setelah mencapai berat badan idaman, kekalkan berat badan ideal dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan senaman yang teratur.

Sumber:

11 February 2013

Makan Banyak Kerana Stress?

Assalamualaikum,

Apakah itu stress? Stress atau tekanan adalah tindakbalas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan hidup. Stress dan hidup kita memang tidak dapat dipisahkan. Ia bergerak seiring dengan kematangan usia kita. 

Tahukah anda, ada di kalangan individu yang sanggup berlapar atau makan secara berlebihan kerana stress. Jika ada merupakan salah seorang dari individu ini, anda adalah individu yang tidak bijak mengawal emosi dan sekaligus tidak memahami keperluan diet pemakanan seimbang. 

Makan Banyak

Makan tanpa kawalan bermakna anda bakal berhadapan dengan masalah kalori berlebihan. Berikut beberapa tips amalan diet sihat yang sekaligus dapat menstabilkan emosi anda:
  • Kenalpasti keperluan makan anda. Makan jika benar-benar berasa lapar, bukan untuk membuatkan anda melupakan masalah.
  • Minum susu atau coklat panas. Ia mampu menyeimbangkan perasaan dan meredakan tekanan perasaan. Ia juga mampu memberi rasa kenyang pada sebelah malam. 
  • Ambil makanan berserat seperti biskut perisa kekacang atau gandum dan buah-buahan. Nilai kalorinya tidak membimbangkan. 
  • Jangan lupa sarapan pagi kerana sarapan memberi rangsangan untuk menstabilkan minda dan emosi. Sarapan juga mampu mengelakkan tekanan akibat lapar. 

02 January 2012

Kuruskan Badan Tanpa Ubat

Assalamualaikum,

Pengambilan ubat untuk menguruskan badan tentunya merbahaya kepada kesihatan kita. Tambahan pula kebanyakan lambakan ubat yang terdapat di pasaran tidak mendapat pengiktirafan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kuruskan Badan Tanpa Ubat
Kuruskan Badan Tanpa Ubat (Gambar hiasan) - herbalpelangsing.com
Sebelum ini telah dibincang mengenai kenapa perlu kurus. Kali ini akan dibincangkan mengenai cara untuk kuruskan badan tanpa ubat. Beberapa tips kuruskan badan tanpa ubat adalah seperti berikut:
1) Sediakan diari khas untuk kuruskan badan
Rekodkan dalam diari mengenai kekerapan dan kuantiti anda makan, tahap kelaparan yang memerlukan anda makan, dan perasaan ketika makan. Setelah beberapa lama membuat catatan, perhati dan kenal pasti untuk memperbaiki tabiat pemakanan yang sihat. Diari ini juga boleh membuatkan anda lebih fokus dan lebih komited terhadap pelan diet anda. 

2) Setkan dalam minda keinginan kuruskan badan
Harus diingat, anda akan menggunakan tubuh anda sehingga hari tua, oleh itu adalah penting untuk anda mengekalkan kesihatannya agar dapat terus bertahan. Ramai orang lebih berjaya menurunkan berat badan dalam jangka masa panjang apabila mereka setkan dalam minda tujuan utama untuk kurus adalah untuk kekal sihat dan cergas. 

3) Makan secara tetap mengikut jadual untuk kuruskan badan
Makanlah secara tetap dalam kuantiti yang sedikit tetapi mengikut jadual (kerap). Pengurangan pengambilan makanan secara drastik akan menyebabkan tubuh kita terkejut dan seterusnya otot dalam tubuh akan dibakar bagi menggantikan makanan. Akibatnya kadar metabolisma tubuh akan menurun dan kita akan makan dengan lebih banyak. 

4) Usah abaikan sarapan pagi untuk kuruskan badan
Pengambilan sarapan pagi adalah penting kerana ianya menstabilkan paras hormon dan gula dalam darah. Sarapan pagi juga menyebabkan kadar metabolisma meningkat untuk membakar kalori. Ambil semangkuk bijirin penuh kerana ia membekalkan sumber tenaga kepada tubuh kita. 

5) Kawal kuantiti makanan untuk kuruskan badan
Gunakan pinggan bersaiz kecil dan rata ketika mengambil makanan. Penuhkan sayur terlebih dahulu dan seterusnya sedikit nasi dan lauk pauk. Elakkan makan sambil menonton tv kerana anda tidak akan perasan kuantiti makanan yang diambil. 

6) Nikmatilah makanan untuk kuruskan badan
Amalkan makan secara perlahan-lahan dan jangan gelojoh. Kunyahlah makanan kepada cebisan kecil sebelum menelannya untuk memudahkan sistem penghadaman. Tubuh akan menghantar isyarat kepuasan ke otak sekiranya makanan dinikmati. 

7) Amalkan minum kosong untuk kuruskan badan
Sifat semulajadi air sebagai agen pembersih dalam tubuh. Air menyahtoksin segala kekotoran dari badan. Amalan meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air kosong setiap hari. 

8) Kurangkan pengambilan berikut untuk kuruskan badan: 
   a) Garam
Kandungan garam yang tinggi dalam badan menyebabkan badan air memerlukan banyak air dan akibatnya banyak air berkumpul dalam tubuh kita. Oleh itu, pengurangan makanan bergaram akan mengurangkan berat kita yang disebabkan pengumpulan air. 

   b) Gula
Penggunaan gula dalam makanan dan minuman perlu dikawal. Tahukah anda satu sudu teh gula mengandungi sehingga 32 kilo kalori. Kurangkan manis dalam makanan serta minuman, lebihkan manis dalam senyuman. Elakkan meminum minuman bergas kerana kandungan gulanya sangat tinggi. Tahukah anda, kandungan dalam 1 tin (435 ml) minuman bergas mengandungi 9 sudu teh gula? Ianya sangat tidak baik untuk diet anda. 

   c) Lemak dan penambah perisa
Makanan berlemak perlu dikurangkan di dalam memastikan diet anda berjaya. Pilihlah ikan jika dibandingkan dengan ayam. Sekiranya memilih ayam, buang lemak dan kulit terlebih dahulu sebelum ianya dimasak. Snek ringan yang sememangnya kaya dengan penambah perisa juga perlu dikurangkan pengambilannya. Penggunaan minyak dan marjerin juga perlu dikurangkan dalam masakan dan makanan anda. 

9) Ubah cara memasak untuk kuruskan badan
Lupakan kaedah menggoreng dengan minyak masak. Sebaliknya tukar kepada kaedah merebus, mengukus dan membakar. 

10) Jadikan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai snek untuk kuruskan badan
Buah dan sayur tinggi kandungan vitamin serta mineral dan rendah lemak. Jika berasa lapar, amalkan mengudap buah-buahan. Misalnya potong kiub buah betik dan simpan dalam peti ais. Apabila berasa lapar, keluarkan dari peti ais dan boleh dimakan segera bagi menggantikan snek ringan. Amalan meminum segelas air limau nipis selepas makan menggalakkan pembakaran lemak kerana kandungan asid sitrik dalam buah limau nipis. 

11) Lakukan aktiviti fizikal secara konsisten untuk kuruskan badan
Aktiviti fizikal boleh dilakukan samaada di dalam atau di luar rumah. Berikut beberapa aktiviti serta kalori yang dibakar oleh seorang dewasa berat 68kg beraktiviti selama sejam:

   a) Berbasikal statik = 380 kalori
   b) Berjalan pantas = 300 kalori
   c) Bermain bola keranjang (agresif) = 450 kalori
   d) Mengemas rumah = 240 kalori
   e) Berkebun = 320 kalori
   f) Aerobik = 405 kalori
   g) Bermain Ping Pong = 280 kalori
  h)  Bersauna (15 minit) = 400-600 kalori
   i) Berbasikal (30 minit) =  250 – 500 kalori
   j) Jogging (30 minit) = 300 kalori
   k) Berenang (30 minit) = 400 kalori

Oleh itu, hanya kita yang mampu mengubah diri kita untuk menjadi lebih cergas dan sihat. Semoga tips kuruskan badan tanpa ubat yang dikongsikan ini bermanfaat untuk anda amalkan dalam kehidupan seharian. 

07 November 2011

Keperluan Kalori Seharian

Assalamualaikum,

Malaysia kaya dengan pelbagai jenis makanan. Pemakanan yang tidak seimbang boleh menyumbang kepada risiko pelbagai penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Keperluan kalori seharian yang tepat adalah perlu.

Keperluan Kalori Seharian
Keperluan Kalori Seharian (Gambar hiasan) - fimela.com
Berapakah keperluan kalori seharian yang diperlukan oleh badan kita? Berikut disenaraikan beberapa jenis makanan mengikut kalori: 

1. Kalori Makanan Rutin
  • Nasi putih (satu setengah cawan) - 260 kalori 
  • Nasi lemak bersambal (sepinggan) - 400 kalori 
  • Nasi goreng bertelur (sepinggan) - 635 kalori 
  • Nasi briyani berayam (sepinggan) - 880 kalori 
  • Nasi minyak kosong (sepinggan) - 445 kalori 
  • Nasi ayam kosong (sepinggan) - 300 kalori 
  • Mee goreng kosong (sepinggan) - 660 kalori 
  • Mee sup (semangkuk) - 380 kalori 
  • Mee hoon goreng (sepinggan) - 550 kalori 
  • Roti putih (2 keping) - 156 kalori 
  • Roti canai kosong tanpa kuah (sekeping) - 200 kalori 
  • Capati tanpa kuah (sekeping) - 180 kalori 
  • Pau ayam (sebiji) - 203 kalori 
  • Emping jagung kosong (secawan) -160 kalori 
2. Kalori Lauk Pauk
  • Ikan kembung kari berkuah (seekor) - 85 kalori 
  • Ikan tenggiri goreng bercili (sepotong) - 142 kalori 
  • Ikan kembung goreng (seekor) - 140 kalori 
  • Ikan senangin masam manis berkuah (sepotong) - 210 kalori 
  • Daging lembu kari (2 kotak mancis) - 130 kalori 
  • Ayam kari berkuah (sepotong) - 250 kalori 
  • Ayam goreng (sepotong) - 255 kalori 
  • Ayam tandoori (sepotong) - 220 kalori 
  • Sambal udang (setengah cawan) - 70 kalori 
  • Sambal sotong (setengah cawan) - 55 kalori 
  • Telur goreng (sebiji) - 110 kalori 
  • Tauhu goreng (sekeping) - 110 kalori 
  • Kacang panggang dalam tin (2 sudu makan) - 40 kalori 
3. Kalori Buah-buahan
  • Epal (sebiji) - 63 kalori 
  • Tembikai (sepotong) - 20 kalori 
  • Jambu batu (sebiji) - 110 kalori 
  • Nenas (sepotong) - 59 kalori 
  • Ciku (sebiji) - 44 kalori 
  • Mangga (sebiji) - 103 kalori 
  • Betik (sepotong) - 45 kalori 
  • Pisang emas (2 biji) - 76 kalori 
  • Durian (5 ulas) - 64 kalori 
  • Limau (sebiji) - 42 kalori 
4. Kalori Minuman
  • Minuman berkabonat 1 tin (285g) - 120 kalori 
  • Minuman kotak (250g) - 105 kalori 
  • Susu tepung penuh krim (1 sudu makan) - 33 kalori 
  • Susu tepung tanpa lemak (1 sudu makan) - 25 kalori 
  • Aiskrim (2 skop) - 390 kalori 
  • Susu pekat manis (1 sudu makan) - 71 kalori 
5. Kalori Kuih muih
  • Kasui berkelapa parut (sekeping) - 160 kalori 
  • Kuih lapis (sekeping) - 130 kalori 
  • Bingka ubi (sekeping) - 220 kalori 
  • Cekodok pisang (sebiji sederhana) - 180 kalori 
  • Popia goreng (satu) - 130 kalori 
  • Popia basah (satu) - 95 kalori 
  • Pisang goreng (sekeping) - 170 kalori 
  • Kek biasa tanpa krim (sepotong) - 87 kalori 
  • Karipap (sebiji) - 130 kalori 
  • Sandwich sardin (sekeping) - 70 kalori 
  • Bubur kacang (semangkuk) - 100 kalori 
6. Kalori Makanan Segera
  • Peha ayam goreng (satu) - 130 kalori 
  • Nugget ayam (satu) - 60 kalori 
  • Kentang lecek (satu tub kecil) - 90 kalori 
  • Sayur kobis hancur (satu tub) - 75 kalori 
  • Burger keju (satu) - 425 kalori 
  • Kentang goreng (satu kantung kecil) - 405 kalori 
  • Sate ayam (secucuk) - 35 kalori 
  • Pizza berkeju (sepotong) - 240 kalori 
  • Yogurt rendah lemak (1 cawan) - 90 kalori 
  • Mentega (2 sudu teh) - 75 kalori 
  • Keju chedar (1 keping) -58 kalori
Berikut adalah bilangan sajian makanan mengikut keperluan kalori seharian badan kita: 

Kumpulan Makanan1500 kkal/hari  12000 kkal/hari  22500 kkal/hari  3
Bijirin4 sajian6 sajian8 sajian
Buah-buahan2 sajian2 sajian2 sajian
Sayur-sayuran3 sajian3 sajian3 sajian
Daging/Ayam


Ikan

Kekacang
½ sajian


1 sajian

½ sajian
1 sajian


1 sajian

1 sajian
2 sajian


1 sajian

1 sajian
Susu dan produk tenusu1 sajian2 sajian3 sajian
1 Sesuai bagi wanita yang tidak aktif dan warga emas
2 Sesuai bagi kanak-kanak, remaja perempuan, wanita yang sederhana aktif dan lelaki yang tidak aktif
3 Sesuai bagi lelaki aktif, wanita yang sangat aktif, remaja lelaki dan wanita serta lelaki yang kurang berat badan
Oleh itu, buatlah pilihan yang betul berdasarkan keperluan kalori seharian tubuh anda. Jangan lupa untuk seimbangkan pemakanan dengan juga mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti bersenam dan tidak merokok. 

Diolah dari sumber maklumat: http://www.myhealth.gov.my/